Salam Ramadhan Al Mubarak
Anda pernah melihat bunga? Tentu sekali pernah. Orang kata bunga yang kembang dan cantik itu jarang yang wangi. Itulah ibarat kepada seseorang yang cantik tetapi tidak berakhlak dan berbudi.
Seseorang gadis dipuji dengan kata-kata seperti "Awak cantiklah" , maka akan menguntumlah senyuman di bibir dan berbungalah hatinya . Tersipu-sipulah ia .Ahh! Siapa yang tak seronok apabila dipuji dan dikatakan cantik dan lawa? Itulah resam manusia , seronok bila dipuji dan kecewa bila dikeji. Tetapi lain halnya bagi si mukmin yang sentiasa merasa dirinya miskin dengan Tuhannya. Terasa diri kerdil apabila berhadapan dengan pujian dan sanjungan manusia.
Wanita cantik selalu ditimpa 'perasan' kerana menyangka dirinya punya kelebihan . Kata orang juga, wanita cantik banyak yang dimahunya . Apabila diri merasa bangga, seisi dunia mahu digenggamnya . Kalau dia seorang gadis, dirinya sanggup menjadi tukaran dengan wang yang beribu. Ada pula yang rela menjadi 'andartu'. Hidup liar bagai merpati, senang didekati tetapi ditangkap lari (tolong baca sampai habis artikel ini). Jika dia seorang isteri yang sedar dan bangga dengan kecantikannya maka suami yang menjadi mangsa. Si suami selalu melutut dan kalah dengan kehendak dan kerenahnya. Lebih malang jika si suami pula suka dan menjadi hamba kepada kecantikan isterinya . Menyayangi isteri hanya atas dasar kecantikan maka jadilah suami laksana lembu yang dicucuk hidungnya. Ke mana diarah di situlah perginya, alangkah dayuskan suami. Si isteri yang cantik rupawan akan merajuk dan meragam seandai kemahuanya tidak tercapai, mengugut, merajuk hendak balik kampung atau lebih teruk dengan meminta dicerai. Alangkah indahnya jika si isteri menggunakan kecantikannya untuk meniup semangat jihad ke lubuk hati mujahidin.
Ketahuilah, keutamaan dan nilai diri seorang wanita sama ada cantik atau tidak adalah pada agama dan akhlaknya. Kalau dia seorang isteri, kecantikannya hanya untuk suaminya dan ketaatannya pada suami adalah akhlak yang indah.
Wanita yang cantik tetapi tidak punya pekerti tinggi, tidak berakhlak adalah ibarat seperti bunga raya. Cantik warnanya tapi keharumannya tiada. Sebaliknya wanita yang tidak terlalu cantik tapi berakhlak mulia, taat pada Allah dan suami adalah ibarat bunga cempaka. Kecantikannya tidak seberapa tetapi keharumannya memikat jiwa. Antara bunga cempaka dan bunga raya, sudah pasti bunga cempaka diminati dan dipilih orang. Kasihan pada bunga raya kerana tidak dijual atau dipakai orang. Ibarat gadis murahan yang mempertontonkan kecantikan. Kononnya nanti ada yang berkenan tetapi tidak sedar bahawa diri hanya jadi bahan mainan.
Wanita yang tidak cantik malah tidak berakhlak pula hanya akan menyakitkan hati dan mata. Ibarat bunga yang tidak cantik tidak pula berbau harum dan wangi. Maka tiada apa-apa tarikan dan keindahan padanya. Jadi usah dibangga dengan kecantikan dan usah pula risau akan paras rupa untuk merebut kasih sayang manusia tetapi marilah berlumba-lumba utk menjadi hamba Allah yang bertaqwa dan berakhlak mulia. Nescaya lebih bernilai dan disayangi Allah serta makhluk-makhlukNya.
Seharusnya diri yang dikurniakan Allah dengan nikmat kecantikan sentiasa resah jiwanya. Bukan kerana takut luput kurnian Allah itu dari dirinya. Bukan jua kerana iri hati dan tidak mahu ada yang menandingi kejelitaannya. Resah adalah kerana menghitung-hitung timbunan dosa akibat pujian dan sanjungan manusia yang bakal menjerumuskan dirinya ke jurang neraka kerana sifat mazmumah sudah membelenggu jiwa akibat daripada kecantikan diri yang dijulang bagai mahkota.
Bersyukurlah dengan segala nikmat kurniaan Allah. Baik dan buruk, cantik atau hodoh itu semua adalah pemberianNya. Yang berwajah cantik atau hodoh(maknanya kurang cantik) sama-sama perlukan persediaan kerana pasti akan tiba suatu masa di mana yang berwajah cantik atau hodoh dikerumuni oleh cacing dan ditimbusi tanah di liang lahad yang gelap lagi sunyi. Adakah pada saat itu masih berguna kecantikan yang ada? Kita semua tahu jawapannya.
Maksud sabda Rasulullah s.a.w: "sesungguhnya Allah tidak melihat pada rupa paras, tidak melihat pada keturunan, tidak melihat pada harta tetapi Allah melihat pada hati-hati kamu dan amalan kamu"
"Dan apa sahaja nikmat yang ada padamu dari Allah datangnya, dan bila kamu di timpa kemudaratan maka hanya padaNyalah kamu meminta pertolongan." An-Nahl ayat 53
"Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih bertaqwa diantara kamu(bukan yang lebih keturunan atau bangsanya)..." Al Hujurat ayat 14
Wallahu a’lam. Semoga kita sentiasa dibimbingNya dalam bermujahadah menjadi orang yang terbaik
No comments:
Post a Comment